KISAH IBU.........

Monday, May 10, 2010
Apabila dikenang semula, cara ibu mendidik kita memang tidak dapat dilupakan. Jasa dan pengorbanan mereka cukup besar dan tidak ternilai. Kadang-kadang untuk menjaga hati anak, ibu sanggup berbohong walaupun mereka mengajar anaknya supaya tidak berbohong. Sejak kecil orang tua mengajar kita supaya tidak berbohong, di sekolah guru-guru juga tidak terkecuali. Apatah lagi dalam agama ada menegaskan perbuatan berbohong adalah tidak baik. Tetapi bagi seorang ibu, berbohong menjadi perbuatan baik dan perlu dilakukan. Sudah tentulah ibu berbohong demi kebaikan.

Bagaimana dikatakan seorang ibu itu berbohong? Cuba kita perhatikan kisah ini, barangkali ia pengalaman peribadi atau hampir dengan kehidupan yang kita lalui. Pembohongan yang dilakukan ibu, tanpa kita sedari bertitik tolak daipada perasaan kasih sayang yang paling indah di dunia ini.

Masih ingat tak lagi, kehidupan dulu-dulu kita dilahirkan dalam sebuah keluarga yang susah. Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, ibu dan ayah berhempas pulas membanting tulang empat kerat demi mencari sesuap nasi untuk anak-anak mereka. Apa-apa yang ada tidak pernah berlebih malah selalu tidak cukup. Ketika makan, ibu akan mengagih-agihkan makanan untuk anak-anak. Sambil menyendukkan nasi ke pinggan anak-anak, ibu berkata, ’’ Makanlah nak, ibu tak lapar...’’ Itulah kebohongan ibu yang pertama!

Apabila kita semakin dewasa, ibu semakin gigih membantu ayah mencari nafkah. Anak ramai, perbelanjaan pun bertambah. Ibu menggunakan segala kemahiran yang dimiliki untuk menambah pendapatan. Ada masa ibu memancing di sungai berhampiran rumah. Ibu berharap dengan hasil pancingan di sungai, ibu dapat memberikan makanan berkhasiat untuk anak-anak. Usai kepulangannya, ibu memasak sup ikan yang segar dan membangkit selera. Sambil melayan anak-anak makan, ibu duduk dan mengutip sisa ikan yang masih berbaki. Ibu mencicip isi ikan yang tersisa. Kita melihat ibu seperti itu lalu mempelawa ibu makan, ibu cepat-cepat menolak, lalu ibu berkata,” makanlah nak, ibu tak suka makan ikan..” Itulah kebohongan ibu yang kedua!

Sekarang kita sudah masuk ke sekolah menengah. Demi membiayai persekolahan anak-anak, ibu mengambil upah menjahit atau membuat jualan kuih. Hasil upah menjahit dan jualan kuih, ibu menampung segala perbelanjaan persekolahan anak-anak. Kala anak-anak sibuk menelaah buku untuk menghadapi peperiksaan, ibu juga tidak lelap untuk menemani anak-anak sambil menyiapkan tempahan. Apabila disuruh ibu tidur, dia berkata,” ibu belum mengantuk, cepatlah belajar kemudian masuk tidur...” Itulah kebohongan ibu yang ketiga!

Ketika peperiksaan tiba, ibu tidak putus-putus berdoa agar anak-anak dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang dan beroleh kejayaan. Malah ibu sanggup menghantar makanan ke sekolah agar anak tidak perlu pulang dan masa yang ada boleh digunakan untuk mengulangkaji pelajaran. Ibu sabar menunggu hingga loceng berbunyi untuk menghulurkan bekas berisi makanan dan minuman. Ketika kita mempelawa ibu minum, apabila melihat ibu berpeluh, dia menolak, ” minumlah nak, ibu tak haus..” Itulah kebohongan ibu yang keempat!

Setelah kematian ayah kerana sakit, ibu menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Dialah ibu, dialah ayah. Ibu sendirian memenuhi tanggungjawab. Dengan kudratnya, ibu meneruskan usaha membiayai keperluan hidup keluarga. Tiada hari tanpa penderitaan dan pengorbanan ibu. Melihat keadaan serba payah, ada insan yang baik hati membantu semua masalah besar atau kecil. Saudara mara melihat kehidupan yang sengsara turut menasihatkan ibu supaya berkahwin lagi, tetap ibu tidak mengendahkan nasihat mereka dan berkata,” saya tidak perlukan cinta...” Itulah kebohongan ibu yang kelima!

Setelah anak-anak semuanya tamat persekolahan dan bekerja, ibu yang sudah tua sepatutnya bersara daripada pekerjaan. Tetapi ibu tetap rela bekerja setidak-tidaknya berkebun dan menjual hasil tanamannya di pasar. Kita yang sudah bekerja, mengirimkan sedikit wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, tetapi ibu tidak mahu menerimanya dan berkata, ” Tak apa nak, ibu ada duit..” Itulah kebohongan ibu yang keenam!

Apabila kehidupan anak-anak sudah berjaya, kita berhasrat untuk mengajak ibu tinggal bersama. Kita mahu mambalas jasa ibu dengan kesenangan kerana ibu memang layak menerimanya. Tetapi ibu yang baik hati tidak mahu menyusahkan anak-anaknya dan berkata,” Tak apa nak, tak ada sesiapa nak jaga ayam, itik dan kebun kita..” Itulah kebohongan ibu yang ketujuh!

Semakin lanjut usia, kesihatan ibu semakin menurun. Ibu disahkan menghidap penyakit kanser dan perlu dirawat di hospital. Anak-anak susah hati melihat ibu terbaring lemah di katil setelah menjalani pembedahan. Ibu yang sangat tua, menatap satu-persatu wajah anak-anak dengan penuh kerinduan. senyuman yang tersebar di wajahnya nampak tawar kerana sakit yang ditahannya. Nyata betapa penyakit itu menjamah tubuh ibu sehingga dia lemah dan kurus kering. Kita menatap wajah ibu dengan linangan air mata melihat keadaan ibu begitu. Ibu berkata, ” Jangan menangis anakku, ibu tak apa-apa..” Itulah kebohongan ibu yang kelapan!.

Setelah mengucapkan kata-kata itu, ibu tercinta menutup matanya untuk yang terakhir kalinya. Daripada kisah ini, mungkin ada antara kita yang pernah mendengar kisah ini ataupun mengalaminya sendiri. Untuk itu, perlunya kita sebagai anak membalas jasa ibu selagi masih berkesempatan.

Untuk kesekian kalinya, saya juga ingin mendedikasikan ucapan selamat hari ibu buat bonda tercinta, Puan Zaimah Ibrahim kerana menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anaknya. Terima kasih kerana mendidik diri ini menjadi insan yang berguna..Segala pengorbanan mama hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya.........

SELAMAT HARI IBU buat semua yang bergelar ibu........


1 comments:

  1. kamal abdullah said...:

    salam....gmbor kek tu kek utk mama ke??kek kt umah ke??

Post a Comment