Pelaksanaan undang-undang Islam..sekadar retorik atau realiti?

Thursday, August 20, 2009

Penghakiman Mahkamah Syariah di Kuantan yang menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan kepada wanita Melayu Islam bermur 32 tahun kerana minum arak di khalayak ramai menarik pandangan pelbagai pihak. Kesalahan itu didakwa mengikut seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (pindaan 1987). Ada yang memuji keberanian Mahkamah Syariah, dan tidak kurang ada juga yang mengutuk dan menentang.


Dalam menjatuhkan hukuman itu, Mahkamah Syariah dikatakan zalim, menyeksa wanita dan penghakiman ini dianggap berlawanan dengan hak asasi manusia kerana hukuman itu memalukan wanita dan tidak bertamadun, ini juga didasarkan kerana undang-undang sivil di Malaysia turut mengecualikan wanita daripada hukuman rotan. Persoalannya, apakah wanita juga terkecuali daripada hukuman sebat? Dalam Islam, hukuman taklif atau beban melaksanakan agama adalah sama antara jantina. Apabila Allah SWT menetapkan hukuman mencuri mengikut undang-undang Islam dipotong tangan, Allah turut meletakkan hukuman yang sama terhadap wanita. Begitu juga dengan hukuman zina. (Surah An-Nur)


Cuma kaedah perlaksanaannya yang agak berbeza tetapi di sisi Allah, kedua-dua pihak bertanggungjawab atas perlakuan mereka, masyarakat sering sensitif terhadap hukuman Mahkamah Syariah. Penghakimannya selalu dikupas dan menjadi polemik tidak berkesudahan.Media juga turut berperanan dengan menggambarkan kelemahan Mahkamah Syariah seperti tidak efisien, hukuman tidak bagus dan kes memakan masa lama.

Bukankah kita berpegang kepada keluhuran undang-undang dan menghormati sistem perundangan negara? Mengapa apabila sesuatu penghakiman di Mahkamah Sivil dijatuhkan, semua dapat menerima dengan baik, berlapang dada menghormatinya tetapi tindakan sebaliknya diberikan apabila Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman. Tindakan double standard seperti ini tidak harus diteruskan.


Justeru, apabila ketidakpuasan hati berlaku terhadap penghakiman mahkamah, medan perundangan juga jawapannya. Merayu kepada mahkamah yang lebih tinggi adalah kaedah sewajarnya, bukan menghina dan mengkritik penghakiman Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah menjatuhkan penghakiman berdasarkan bidang kuasanya yang kecil dan ini wajar diperbincangkan atau ditambah agar mahkamah dapat berfungsi dengan lebih baik.

Akta 335, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Disemak 1988) menyebut, bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah yang ditubuhkan mengikut undang-undang negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang Islam dan berkenaan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun agama Islam oleh orang yang menganuti agama itu yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis : Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi RM 5,000 atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman itu. Akta ini yang perlu diperbincangkan dan dicadangkan penambahbaikan oleh semua pihak yang prihatin.


Menyoroti sesetengah laman web yang membawa kenyataan jika sesiapa ingin melakukan perkara haram dan neraka adalah perlakuannya, maka itu adalah urusannya dengan Allah,tidak ada kena-mengena dengan individu lain atau pemerintah. Sebenarnya, undang-undang diwujudkan bertujuan mengawal selia perlakuan salah manusia untuk kehidupan yang lebih baik. Jika semua orang bebas melakukan apa sahaja, apakah yang akan berlaku pada masyarakat? Kita akui bahawa semua masyarakat di dunia ini menerima undang-undang sama ada agama mahupun bukan, bertujuan untuk mengurangkan sebarang masalah yang timbul dalam masyarakat.


Oleh itu, penyelesaian yang terbaik adalah dengan menerima undang-undang Islam. Apabila bergelar Muslim khususnya, kita harus menerima taklifan beban pertanggungjawaban ke atas perkara yang ditetapkan agama. Apabila wujud perlanggaran kepada peruntukan, ia kewajipan semua pihak untuk menegur dan membetulkan pesalah. Apabila ia melepasi sistem perundangan, maka mahkamah adalah medan untuk memutuskannya. Melakukan perkara haram bukanlah hak asasi manusia, dan melanggar hak Allah adalah jenayah..

0 comments:

Post a Comment